Tuesday, August 2, 2011

Jimmy Shanley tidak dimaafkan

SETIAP kali Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, mengeluarkan kenyataan mengenai perbalahan dengan Nursuhaila Elliani Shuhaimy, 25, di dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen, setiap kali itu jugalah isterinya itu mengambil sikap berdiam diri.
Tidak sepatah pun kenyataan balas dilemparkan Nursuhaila tatkala dia dikecam oleh Jimmy dengan pelbagai dakwaan yang tidak diketahui, siapa yang benar dan siapa yang salah.
Namun, baru-baru ini, lantaran keceluparan mulut Jimmy yang memberitahu majlis berendoi dan cukur jambul sempena menyambut kelahiran anak mereka, Zahrah Rania Shanley yang baru menginjak usia sebulan dibatalkan, mengundang kemarahan keluarga Nursuhaila terutama bapanya, Datuk Suhaimy.
Suhaila yang dahulunya dilihat pendiam akhirnya lantang bersuara ekoran kemarahannya terhadap tindakan Jimmy yang disifatkan tidak siuman itu.


"Menjadi kebiasaan, setiap tahun keluarga saya akan mengadakan majlis kesyukuran sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan.
"Justeru, dengan kelahiran Zahrah, bapa saya mengadakan dua majlis itu serentak tanpa meminta satu sen pun daripada Jimmy.
"Jadi, apa hak dia untuk mengatakan majlis ini dibatalkan sedangkan kami sekeluarga sibuk menguruskan bagi memastikan ia berjalan lancar," kata Nursuhaila yang marah dengan sikap keterlaluan Jimmy ketika ditemui sejurus majlis yang diadakan di kediaman kedua orang tuanya, di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh itu tamat.
Pada masa yang sama, ditanya kenapa selama ini dia banyak mendiamkan diri sedangkan Jimmy tampil dengan kenyataan kepada pihak media, jawab Suhaila, semua itu demi menjaga kerjayanya sebagai seorang usahawan.
Jelasnya, sebagai ahli perniagaan, dia tidak memerlukan publisiti murahan seperti mana yang ditagih oleh Jimmy.
"Kalaulah saya buat tindakan yang serupa dengan dia (Jimmy), itu pasti akan menjejaskan perniagaan saya dan secara tidak langsung, perniagaan keluarga saya.
"Cukuplah dengan kekecohan yang ditimbulkan oleh Jimmy dan segala kemelut yang saya hadapi sekarang ini membuatkan tumpuan terhadap perniagaan terganggu," katanya sinis selain mengaku kecewa dengan apa yang berlaku ke atas rumah tangganya.


Tidak maafkan Jimmy
Sementara itu, Suhaimy pula menegaskan, dia tidak akan memaafkan tindakan Jimmy yang menjatuhkan nama baik dan maruah keluarganya.
Suhaimy mengakui malu untuk berhadapan dengan rakan-rakan perniagaannya yang bertanyakan kesahihan sama ada majlis tersebut (cukur jambul) berlangsung atau dibatalkan.
"Jujurnya, saya tidak maafkan dia berdasarkan kenyataan yang dikeluarkannya.
"Apatah lagi, saya sudah mengundang ahli keluarga dan sahabat handai untuk hadir ke majlis ini.
"Apabila ramai yang bertanya jadi ke tidak majlis ini, saya jadi terkejut kerana majlis ini sudah dirancang dan dia sendiri tahu majlis ini akan diadakan pada 27 Julai.
"Saya sangat marah dengan tindakannya itu. Pada saya, jadi atau tidak majlis ini tidak perlu diuar-uarkan kepada media," jelasnya sambil memberitahu, seboleh-bolehnya beliau tidak mahu masuk campur perihal rumah tangga anaknya yang berantakan.
Ibu mertua Jimmy, Datin Muniroh pula mengatakan, menantunya itu sendiri yang menetapkan majlis tersebut supaya berlangsung pada 27 Julai.
"Pada awalnya, Jimmy mahu mengadakannya pada 23 Julai, tetapi memandangkan suami saya perlu menghadiri mesyuarat, Jimmy sendiri yang mengganjak tarikh dan menetapkan pada tarikh baru pada hari ini.
"Saya bukan sahaja terkejut tetapi mengamuk apabila dia cakap majlis ini tidak jadi. Tipu kalau dia kata, dia tidak tahu menahu tentang majlis ini.

"Sedangkan, sebelum majlis ini berlangsung, saya ada mengingatkannya supaya hadir sama kerana ini majlis cukur jambul anaknya juga," jelas usahawan kosmetik Natasha itu

0 comments: