Monday, July 18, 2011

Rozita Che Wan

KUALA TERENGGANU: “Saya tak pernah terfikir sampai ke situ,” kata pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 37, yang menyangkal dakwaan dia terkena sihir atau penyakit misteri sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dua kali sepanjang bulan lalu.
Sehubungan itu, ibu tunggal kepada dua anak itu meminta orang ramai terutama peminatnya tidak membuat sebarang andaian buruk terhadap status kesihatannya dan menjelaskan dia kini sudah pulih. Menurutnya, pada awal Jun lalu, dia dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Selangor kerana mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya sehingga menyebabkan ligamen kakinya terkoyak.

Rozita berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia baru saja pulang daripada penggambaran episod terakhir drama bersiri Anissa yang kini bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3.
“Pada awalnya saya sangka hanya sakit biasa, tetapi ketika hendak tidur kaki saya semakin sakit dan segera menghubungi abang saya meminta dia menghantar ke hospital.

“Ketika hendak mendapatkan rawatan, kaki saya terlalu sakit dan tidak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung abang untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Peragaan Fesyen Garden Of Bliss oleh butik Klasique dan My Couture di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Menurutnya, selepas pemeriksaan x-ray dilakukan, doktor mendapati ligamen kakinya terkoyak dan dia diberi rehat seminggu serta terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran.

“Doktor kata ia tidak teruk, tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh,” katanya.

Rozita berkata, selepas kecederaan kakinya pulih, pada pertengahan Jun lalu dia sekali lagi terpaksa dirawat ke hospital. “Saya berasa sakit kepala dan sekali lagi mendapatkan rawatan di hospital sama. Selepas pemeriksaan, doktor memberitahu saya menghidap demam kuning dan terpaksa dimasukkan ke wad selama lima hari,” katanya. Ketika ditanya mengapa dia tidak mahu menerima pelawat sepanjang dirawat di hospital, Rozita berkata, dia hanya mengikut nasihat doktor yang mahukannya berehat sepenuhnya. “Bukan semua orang tak boleh melawat saya di hospital kerana ahli keluarga terdekat dibenarkan berbuat demikian. Hakikatnya, saya sakit biasa saja dan menerima rawatan seperti orang lain di hospital, selain mengikut nasihat doktor supaya tidak melakukan sebarang kerja.
“Jika doktor tidak tahu punca penyakit saya memang saya takut juga kerana mungkin ada sebab lain, namun apabila doktor beritahu saya menghidap demam kuning, saya yakin tiada apa yang perlu dibimbangkan. Malah, kini saya sudah sihat dan boleh kembali bekerja,” katanya.

Rozita yang menerajui butik My Couture bersama rakan kongsinya, Hanim Sahrom kini meluaskan empayar perniagaannya apabila membekalkan busana untuk wanita sopan rekaan mereka kepada butik Klasique di bandar raya ini.

Pelakon jelita itu turut menafikan andaian sesetengah pihak kononnya dia menceburi bidang perniagaan sebagai persediaan untuk bersara daripada arena seni.

“Saya memang minat berniaga sejak dulu lagi, malah saya juga merancang membuka sebuah butik tahun depan. Pada masa sama, saya masih aktif berlakon,” katanya.

Rozita berkata, rezekinya dalam lakonan tidak putus-putus apabila baru saja selesai membintangi telefilem, Kiah Raya Solo di Perlis dan kini memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod, Biarlah Rahsia.

2 comments:

Anonymous said...

Heya i'm for the primary time here. I found this board and I find It really helpful & it helped me out much. I hope to give something back and aid others like you helped me.

Also visit my web blog - http://identi.ca/

Anonymous said...

I’m not that much of a internet reader to be honest but your blogs really nice, keep it up!

I'll go ahead and bookmark your website to come back later. All the best

My weblog; http://www.diggygames.com/aaafxy5