Wednesday, July 27, 2011

Memaknakan kehidupan

Bagaimanakah untuk menadikan kehidupan kita sebagai kehidupan yang bermakna?
Pasti ramai yang terfikir. Melihat betapa hujung kehidupan seakan satu lubang hitam yang tidak diketahui, membuatkan kehidupan menjadi hambar dan dihurung keresahan.
Apabila kita melalui hari-hari dengan merasakan bahawa kehidupan kita tidak mempunyai makna yang signifikan, kita akan rasa lemah hendak melaluinya. Kita akan rasa letih dan penat menjalaninya.
Di sinilah kelemahan terbentuk dan hidup jadi tidak menentu.
Sedangkan, makna hidup itu wujud.
Tinggal kita sahaja perlu memaknakannya.

Cara memaknakan kehidupan 1: Mempunyai matlamat
Hendak memaknakan kehidupan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan mempunyai matlamat.
Kehadiran matlamat membuatkan kehidupan mempunyai makna yang signifikan. Kita ada target yang hendak dicapai, kita ada sesuatu untuk dilakukan. Untuk menjadikan perkara ini lebih berkesan, maka kita perlu mewujudkan dua matlamat.
Matlamat jangka panjang.
Matlamat jangka pendek.
Matlamat jangka panjang adalah apa yang kita hendak capai di akhirnya. Manakala matlamat jangka pendek adalah perkara-perkara yang perlu kita capai untuk mencapai matlamat jangka panjang.
Hidup tanpa matlamat, samalah seperti main bola tanpa gol. Bosan, tidak bermakna, tidak mencapai apa-apa. Hidup punya matlamat, samalah seperti permainan bola yang mempunyai gol. Matlamat jangka panjang kita adalah hendak memenangi perlawanan, maka matlamat jangka pendek adalah kita perlu menjaringkan gol ke gawang lawan, dan menjaga gol kita dari dibolosi.
Kita tidak sukar mewujudkan matlamat jangka panjang dalam kehidupan. Hal ini kerana, Islam telah menyediakannya.
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah” Surah Ad-Dzariyat ayat 56.
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).” Surah An-Nisa’ ayat 14.
Persoalan utama adalah, bagaimana hendak mewujudkan matlamat jangka pendek bagi mencapai matlamat jangka panjang?

Cara memaknakan kehidupan 2: Merancang strategi mencapai matlamat
Permainan bola yang mempunyai gol juga boleh menjadi hambar dan membosankan sekiranya pemain-pemain di atas padang bermain semberono dan tidak berstrategi.
Begitulah kehidupan. Apabila kita menjalaninya tanpa strategi, maka ada kemungkinan besar kita tidak akan berjaya mencapai matlamat jauh kita.
Justeru, untuk memberikan kehidupan kita makna, strategi dan perancangan untuk mencapai matlamat perlulah diatur.
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” Surah As-Saff ayat 4.
Hatta Allah SWT juga melakukan sesuatu dalam keadaan yang amat tersusun.
Alif Laam Raa, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci yang diturunkan dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu,” Surah Hud ayat 1.
Soal diri kita, apakah yang perlu kita lakukan untuk mencapai matlamat jangka panjang?
Maka di sinilah kita mewujudkan matlamat-matlamat jangka pendek.
Susun strategi untuk mencapainya. Berikan masa dan waktu yang sesuai untuk menggapainya. Kemudian usaha disiplinkan diri untuk mempunyainya.
Yang tidak berstrategi, atau tidak patuh dengan strateginya, hanya akan runtuh. Bayangkan anda menonton satu pertandingan bola sepak, yang pemain-pemainnya hanya tahu menendang bola keluar padang semata-mata. Atau satu permainan yang hanya penuh dengan pergaduhan dan layangan kad. Adakah itu bermakna untuk anda?
Jadi, adakah bermakna kehidupan dengan pergerakan yang menyimpang dari matlamat kehidupan, serta mendapat layangan-layangan ‘kad’ daripada Allah SWT?
Semestinya tidak bermakna.
Maka perlu punya strategi.

Cara memaknakan kehidupan 3: Mengkualitikan waktu yang wujud
Setiap permainan ada waktu yang terhad.
Begitu jugalah  kehidupan kita. Tinggal, kalau bermain bola kita tahu bahawa kita ada 90 minit, ditambah dengan beberapa minit waktu kecederaan. Tetapi tidak untuk kehidupan, kita tidak tahu bila waktu kita akan berakhir.
Namun asasnya tetap sama. Permainan punya waktu, kehidupan punya waktu. Pemain-pemain yang tidak berjaya menggunakan waktunya di dalam permainan pada tahap yang terbaik, maka dia akan kerugian.
Begitulah kehidupan. Kehidupan jadi tidak bermakna sekiranya waktu di dalam kehidupan terbazir begitu sahaja. Tidak bermakna, tidak punya harga. Kerana ia dikorbankan ke arah yang bukan menghala ke matlamat yang hendak dicapainya.
Di situlah kehidupannya menjadi tidak bernilai. Hal ini kerana, waktu adalah terhad.
Terbazir, ia tidak akan datang semula walau dibayar dengan harga tingginya 8 petala.
Pengkualitian waktu ini, hanya akan terwujud apabila pada kita ada satu perkara.
Itulah dia makhluk bernama SERIUS.

Penutup: Hidup adalah permainan. Ada kalah, ada menang. Tetapi tiada seri.
Dilihat semula, kehidupan adalah ibarat permainan.
Tinggal, kemungkinan ada permainan yang mempunyai seri. Namun di dalam kehidupan tiada seri. Akhirnya hanya ada menang atau kalah sahaja. Berjaya mencapai matlamat, atau tidak. Itu sahaja.
Makna kehidupan hanya akan diperolehi apabila tiga perkara di atas wujud di dalam diri.
Hidup yang bermatlamat, adalah hidup yang bermakna.
Kerana perjalanan hidupnya terisi dengan perancangan-perancangan mencapai matlamatnya.
Waktu-waktunya habis semuanya dinilai kerana melaksanakan perancangan-perancangannya.
Inilah dia kehidupan yang bermakna.
Yang memahami ini tak akan gundah, kerana lubang hitam pada masa hadapannya telah hilang.
© Langitilahi.com

2 comments:

AimiiiLove said...

wow, good information. THANKS SR :)

Anonymous said...

Kadangpintar: Online Casino, Betway, Playtech, Betway
Kadangpintar is a global online casino with more 온카지노 than 150 games. choegocasino casino, sports betting, 바카라 slots, live casino.